Janda dan dua lelaki ditahan

Seorang janda beranak dua antara tiga individu ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes penemuan seorang bayi perempuan yang masih hidup di depan sebuah rumah kosong di Kampung Sungai Dua, Gemencheh, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, selain wanita berusia 27 tahun yang juga ibu bayi malang itu, pihaknya turut menahan bekas suaminya berusia 29 tahun dan rakan karib lelaki berkenaan berusia 25 tahun di rumah berasingan sekitar Kampung Parit Buluh, Air Kuning Selatan, kira-kira jam 10 pagi semalam.

“Hasil siasatan awal polis mendapati wanita itu mengaku melahirkan bayi berkenaan di rumahnya dengan dibantu kedua-dua lelaki terbabit.

“Sejurus selesai melahirkannya, bayi itu dibungkus dengan kain batik dan dibuang di depan sebuah rumah kosong di Kampung Sungai Dua yang berada tidak jauh dari rumah suspek,” katanya di sini.

Menurut Wooi, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, kejayaan pihaknya menahan suspek berikutan maklumat orang awam dan kerjasama media yang memberikan liputan mengenai kejadian itu.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang bayi perempuan cukup sifat dan masih bertali pusat dibalut dengan kain batik ditemui di depan sebuah rumah kosong di Kampung Sungai Dua, Gemencheh, di sini.

Difahamkan, bayi malang berkenaan dikatakan sengaja ditinggalkan di atas lantai depan rumah di selekoh jalan kampung itu untuk memudahkan dilihat penduduk kampung.

Bayi itu seterusnya segera dihantar ke Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan untuk menerima rawatan dan memaklumkan kejadian berkenaan di balai polis berdekatan.
sumber;http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Janda_dualelakiditahan/Article/index_html